Nasional

Penagihan dadah adalah penyakit kronik yang perlu dirawat bukan dipenjara – KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) berharap pendekatan terhadap pesalah dan penagih dadah di negara ini, ditangani menerusi rawatan dan pemulihan berbanding kaedah semasa yang lebih menjurus ke arah penguatkuasaan dan pemenjaraan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, statistik menunjukkan bahawa lebih separuh daripada penghuni penjara negara ini terdiri daripada mereka yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan penggunaan dadah.

Katanya, ia sesuatu yang sangat membimbangkan, selain jumlah keseluruhan mereka yang terlibat dengan dadah jauh lebih besar daripada mereka yang terlibat dengan alkohol dan merokok.

“Jadi kita tahu penjara bukan tempat untuk diberi rawatan dan rehabilitasi kepada penagih dadah.

“Sebahagian daripada penagih dadah pula terpaksa diasingkan di pusat-pusat rawatan dan pemulihan dan ini boleh merencatkan tahap kefungsian mereka sebagai seorang ahli masyarakat yang produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian 1st Addiction and Forensic Psychiatry Symposium 2023 yang bertemakan Navigating Roadblocks: Recapturing Life di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof Datuk Adeeba Kamarulzaman.

Menurut Dr. Zaliha, titik pertembungan antara bidang psikiatri dan forensik selalu bermula di fasiliti perubatan, mahkamah dan pusat tahanan.

Katanya, pengamal perubatan sering kali berdepan keperluan untuk membuat penilaian ke atas penagih dadah yang telah atau sedang mempunyai pendakwaan undang-undang.

Malah katanya, pengamal perubatan di pusat tahanan pula berdepan cabaran dengan pesalah yang bergelut gejala seperti penarikan atau kerencatan fizikal dan mental disebabkan dadah yang mereka gunakan.

“Ini menyebabkan kesukaran bagi membentuk pelan rawatan perubatan berkesan yang juga memenuhi kehendak perundangan.

“Hasilnya penyakit akan bertambah buruk dan sistem pengadilan akan bertambah sesak,” katanya.

Related Articles

Back to top button