Semasa

Fitnah 54,000 warga China diberi kerakyatan: Rafizi gesa siasat hantaran media sosial Pas Pusat

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menggesa pihak berkuasa menyiasat catatan media sosial PAS Pusat berhubung dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan di negara ini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menerusi hantaran di aplikasi X menyifatkan catatan PAS Pusat di media sosial itu sebagai jenayah fitnah dan penipuan.

“Saya akan bercakap dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting ini yang jelas satu fitnah jenayah.

“(Dakwaan) dalam proses diberi kerakyatan adalah penipuan. PAS perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” katanya.

Difahamkan PAS berkongsi catatan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 18 Ogos lalu menafikan dakwaan yang asalnya ditularkan di media sosial itu.

Mereka menegaskan kenyataan Saifuddin Nasution pada Januari lalu yang memaklumkan sejumlah 54,000 permohonan kerakyatan dikemuka dari 2017 hingga 2022 telah dimanipulasi.

Daripada 54,000 permohonan meliputi pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal, hanya 45 warga China diberikan kerakyatan antara 2019 dan 31 Julai lalu.

Related Articles

Back to top button