Semasa

Isu kalimah Allah perlu dibincangkan dengan penuh hikmah – Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan bahawa sebarang isu berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, pandangannya itu juga telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Beta juga telah menyuarakan pandangan ini kepada Perdana Menteri, bahawa isu berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat MKI.

“Memandangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini merupakan isu yang sensitif di kalangan orang Islam di Malaysia.

“Malah, melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian penganut Kristian di negeri Sabah dan Sarawak, maka ia perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, baginda turut bertitah, mesyuarat MKI kali ini turut membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang.

“Sehubungan itu,satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” tambah baginda Sultan.

Related Articles

Back to top button