Pilihanraya

Kerajaan Perpaduan wakili wajah sebenar Malaysia, wajar dipertahankan

Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah wajah sebenar Malaysia yang perlu diterjemahkan kepada semua.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bercakap kepada jentera Pemuda Umno di Johor Bahru malam tadi berkata, dakwaan PN bahawa kerajaan perpaduan memberi ancaman terhadap kaum Melayu adalah satu pembohonnya.

Sebaliknya menurut beliau gabungan Perikatan Nasional (PN) yang bermain dengan politik yang membawa perpecahan.

“Apabila kita duduk dalam kerajaan, ada ke Islam terancam, ada ke Melayu terancam. Kita dah jelaskan sekiranya ada pihak yang melampaui batasan dalam soal agama, bangsa dan raja-raja, Pemuda UMNO akan jadi benteng mempertahankan perkara itu.

“Insya-Allah, saya percaya rakyat termasuk masyarakat Johor serta pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sudah bijak dan boleh menilai mana satu kaca dan mana satu permata,” tegasnya.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal turut berkata, pihaknya menggerakkan gelombang biru merah bagi melawan gelombang hijau yang dibawa pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kali ini.

“Kita perlu pertahankan kerajaan ini kerana ia adalah wajah sebenar Malaysia. Sewaktu negara mencapai kemerdekaan dahulu tidak boleh hanya ada Melayu, sebaliknya perlukan perpaduan Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Jadi, jangan pisahkan kita, gelombang hijau dibawa dengan politik ekstremis dan dan kebencian, jadi ia perlu ditolak sepenuhnya.

“Kita mulakan gelombang biru merah ini di Johor, buktikan rakyat tolak politik perpecahan dan sokong politik perpaduan,” tambahnya.

Turut hadir pada acara itu adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah; Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros dan calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Beliau sementara itu turut menafikan dakwaan bahawa Pemuda UMNO tidak akan menyokong calon PH dalam PRK tersebut, sebaliknya menegaskan sayap UMNO itu komited memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan.

“Kita sokong penuh calon PH yang mewakili kerajaan perpaduan, saya juga sudah berjumpa dengan Pemuda Malaysia dan Johor untuk pastikan beri komitmen 100 peratus dalam memenangkan PRK ini.

“Dalam soal kerjasama jentera tidak timbul masalah, mungkin ketika awal dahulu ada cabarannya tetapi selepas momentum semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu, bahangnya masih belum habis dan kali ini, nampak keserasian itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button