Semasa

K’jaan beri vaksin Tdap secara percuma kepada ibu hamil mulai tahun hadapan

Bermula tahun hadapan, kerajaan akan memberikan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma kepada semua ibu hamil di Malaysia termasuk bukan warganegara di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif pemberian vaksin Tdap itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutamanya dalam kalangan bayi berusia bawah lima bulan

Ia dianggarkan akan melibatkan anggaraan 500,000 ibu hamil pada setiap tahun dengan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta .

“Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu Dr Zaliha berkata, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi berkenaan lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan.

Jelasnya, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit berkenaan seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian.

Ia jelasnya berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan.

Ahli Parlimen Sekijang itu turut memaklumkan sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian dilaporkan di Malaysia antara Januari hingga 23 Ogos lalu.

Daripada 343 kes pertussis yang dilaporkan itu, 173 kes atau 50.4 peratus merupakan bayi berusia bawah lima bulan, manakala daripada 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian adalah dalam kalangan bayi berusia bawah lima bulan.

Related Articles

Back to top button