MB Selangor seru anak muda mahu jadi pempengaruh contohi Khairul Aming
Menteri Besar Selangor mengucapkan tahniah kepada Khairul Aming yang dinobatkan sebagai ‘Creator of The Year’ pada TikTok Awards Malaysia 2023 .
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejayaan Khairul Aming itu adalah motivasi terbaik kepada anak muda khususnya di negeri ini termasuk untuk menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab di era media sosial.
“Saya meneliti ucapan penghargaan beliau semalam dan memuji pesanan saudara Khairul Aming buat pencipta kandungan muda yang menekankan bahawa pencipta kandungan juga perlu mempunyai adab dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah.
“Tauladan dan nasihat saudara Khairul Aming adalah motivasi terbaik buat anak-anak muda khususnya di Negeri Selangor. Di era dunia media sosial yang rancak ini, kesopanan, adab dan pendidikan adalah penting dalam membangun masyarakat yang berbudi pekerti,” katanya.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 31 dalam ucapan ringkasnya menasihati pencipta kandungan muda agar tidak mengabaikan pelajaran.
Ia jelasnya bagi memastikan kandungan yang dikongsi kelak adalah kandungan berkualiti.
“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” katanya.
Sementara itu, Amiruddin berkata,cdi bawah Tawaran Kita Selangor, Kerajaan Perpaduan turut melaksanakan Geran Kreatif Digital Kita Selangor bertujuan untuk merancakkan aktiviti dan kreativiti kandungan digital dalam kalangan anak muda.
“Insya-Allah kita berharap agar lebih ramai anak muda akan mengikuti jejak langkah saudara Khairul Aming dalam menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab,” katanya.