Semasa

Kementerian Ekonomi terima 3,398 permohonan projek kemudahan rakyat setakat minggu lalu

Sebanyak 3,398 permohonan diterima Kementerian Ekonomi setakat 25 Ogos lalu bagi projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR), maklum menterinya, Rafizi Ramli.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 1,491 permohonan diterima dari pihak individu, 989 dari organisasi bukan kerajaan dan 918 permohonan diterima dari organisasi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sabah mencatatkan jumlah permohonan paling tinggi iaitu sebanyak 909 projek, diikuti Negeri Sembilan (559 projek) dan Sarawak sebanyak 268 projek.

“Daripada 3,398 permohonan, 1,385 projek telah diluluskan manakala 245 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi justifikasi dan syarat permohonan di bawah IKR.

“Senarai permohonan projek yang diluluskan telah dikemukakan kepada PBT atau agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat,” katanya pada sidang media, di Putrajaya pada Selasa.

IKR dilancarkan pada Jun lalu bagi membantu rakyat melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam.

Melalui inisiatif itu rakyat boleh memohon terus kepada kementerian untuk peruntukan projek infrastruktur kecil awam di kawasan masing-masing dengan kos projek tidak melebihi RM200,000

Rafizi sementara itu berkata, ntara projek di bawah IKR yang telah diluluskan ialah baik pulih jalan sebanyak 366 projek; baik pulih parit atau longkang (126 projek); baik pulih surau atau masjid (91 projek); bina baharu dan baik pulih tandas awam (25 projek); dan bina baharu hentian bas sebanyak sembilan projek.

Orang ramai jelasnya masih boleh memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR di alamat ikr.ekonomi.gov.my.

Related Articles

Back to top button