Semasa

Kerajaan aktifkan semula Harmoni, jadi medium selesai persoalan berkaitan agama.

Kerajaan akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) sebagai medium perbincangan antara pemimpin agama dalam menyelesaikan persoalan berkaitan agama serta kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu secara bersama dengan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan ia akan dianggotai pemimpin agama utama dalam negara.

Sehubungan itu pihaknya akan melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi proses pengaktifan jawatankuasa itu pada kadar segera.

“Jawatankuasa Harmoni ini diharapkan dapat berfungsi sebagai badan perundingan rasmi bagi para pemimpin agama utama di Malaysia memberikan input terbaik dan mencadangkan program yang praktikal untuk dilaksanakan demi memperkukuhkan persefahaman serta keharmonian hidup beragama dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas Majlis Muhibbah Merdeka Bersama Pemimpin-pemimpin Agama di Putrajaya.

Terdahulu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyarankan jawatankuasa Harmoni diaktifkan semula bagi menangani ‘salah faham’ melibatkan dasar kerajaan susulan timbul perbezaan pandangan pemimpin pelbagai kaum dan agama.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz juga berharap jawatankuasa itu dapat memainkan peranan menyatupadukan kaum di negara ini.

Sementara itu, Mohd Na’im memaklumkan, pada majlis muhibbah diadakan pada Selasa itu, 20 wakil daripada pelbagai pertubuhan utama berasaskan agama dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia, hadir antaranya wakil pertubuhan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism; Buddhist Association; Christian Federation Malaysia; Malaysia Hindu Sangam; Sikh Federation; dan Persatuan Tao Malaysia.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah memperkasakan program Dialog Antara Tamadun sebagai pendekatan bagi memperkukuhkan keharmonian hidup beragama dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Pendekatan dialog bagi meningkatkan kefahaman dan mengatasi kekeliruan akan diperkasakan menerusi pelaksanaan seminar, penerangan dan penerbitan bahan ilmiah,” katanya yang turut menyifatkan pertemuan itu membuktikan semangat persefahaman dan kerjasama yang utuh dalam kalangan pemimpin agama di negara ini.

Related Articles

Back to top button