Semasa

Nahas N28JV: rakaman suara sebelum nahas berjaya diperoleh semula

Data kotak perakam suara kokpit (CVR) dalam nahas pesawat Elmina yang dihantar ke Florida, Amerika Syarikat berjaya diperoleh semula, maklum Menteri Pengangkutan.

Anthony Loke dalam satu sidang media pada Selasa berkata, semua rakaman terutama 30 minit terakhir sebelum pesawat terhempas telah diekstrak dan laporan awal dijangka siap dua minggu lagi.

“Jadi rakaman kokpit itu sudah dihantar melalui e-mel kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur. Semua rakaman suara pada dua juruterbang itu sedang dianalisa bagi kenal pasti punca nahas,” katanya.

Nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina pada 17 Ogos lalu mengorbankan 10 orang terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

CVR yang mengandungi rekod penerbangan kemudianya berjaya dibuka pada Sabtu lalu.

Walaupun keadaan luarannya rosak teruk, kepingan memori atau ‘memory puck’ yang merupakan komponen di dalam kotak hitam perakam suara kokpit itu dilaporkan masih berada dalam keadaan baik.

Mengulas lanjut, Anthony memberitahu, beliau tidak akan memberitahu secara terperinci punca nahas itu walaupun sudah diberi maklumat awal mengenai isu berkenaan.

“Saya tidak mahu buat apa-apa rumusan walaupun Ketua BSKU ada beri sedikit maklumat awal kepada saya. Saya fikir saya tidak mahu beri spekulasi.

“Saya serahkan kepada pihar pihak pakar kita buat analisa dan maklumat itu akan dikongsikan dalam laporan awal nanti,” ujarnya.

Justeru semua pihak dinasihatkan tidak salah faham dengan proses siasatan berkenaan kerana ia bukan mencari salah mana-mana pihak sebaliknya ia tertumpu kepada mengenal pasti punca utama nahas terbabit.

Related Articles

Back to top button