Semasa

Peruntukan KPM pastikan infrastruktur sekolah selamat dan selesa

Kementerian Pelajaran (KPM) sentiasa komited menyelesaikan isu di sekolah termasuk berkaitan penyelenggaraan infrastruktur yang secara langsung memberi kesan terhadap keselamatan dan keselesaan murid dan guru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata ia terbukti apabila peruntuan dan bantuan penyelenggaraan disalurkan bagi memastikan bangunan sekolah selamat dan sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Sumbangan bantuan penyelenggaraan daripada KPM adalah untuk memastikan bangunan sekolah, peralatan sekolah dan persekitarannya sentiasa selamat, selesa, bersih dan ceria serta mewujudkan iklim fizikal sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

“Ini boleh meningkatkan motivasi warga sekolah bagi mencapai kecemerlangan dalam semua aspek kurikulum dan kokurikulum,” katanya.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Forest Heights di Seremban pada Selasa.

“Di Negeri Sembilan, sebanyak 45 daripada 47 buah sekolah SJKC dan 39 daripada 46 buah sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) jenis bantuan kerajaan telah menerima peruntukan penyelenggaraan untuk tahun ini,” tambahnya.

Sementara itu ketika menyentuh lawatan tersebut beliau memberitahu, kini terdapat 173 murid di SJKC Forest Heights selepas dipindahkan dari SJKC Ulu Kanchong.

“Setelah 86 tahun ladang Ulu Kanchong semakin kekurangan penduduk dan sekolah telah dipindahkan ke sini yang dikenali SJKC Forest Heights dengan pertambahan lapan murid sehingga 173 murid tahun ini.

“Saya difahamkan, dijangka tahun depan akan meningkat menjadi 222 murid dan dalam masa empat tahun lagi meningkat menjadi 350 orang murid. Ini merupakan salah satu daripada jalan penyelesaian untuk berpindah ke sekolah yang berada di kawasan yang kian padat,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button