Semasa

Cuepacs ajak penjawat awam jayakan konsep Malaysia Madani

Golongan penjawat awam digesa agar terus menyokong dasar negara dan setia kepada kerajaan walaupun mungkin mempunyai ideologi politik berbeza.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat membuat gesaan itu susulan seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya setiap rakyat memartabatkan negara dengan memaknai kemerdekaan dari segi jiwa dan pemikiran yang merdeka.

“Pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara ini benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan lewat petang semalam.

Perdana Menteri dalam amanat perdana sempena hari kebangsaan ke-66 mengajak rakyat mempertahankan kemerdekaan negara bagi memastikan usaha menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat dapat dijayakan.

Menurut beliau, hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan golongan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional dan mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Adnan turut mengajak seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus bersama dengan kerajaan bagi membangunkan negara dengan nilai dan aspirasi dibawa melalui konsep Malaysia Madani.

“Dari pimpinan tertinggi dalam perkhidmatan awam hinggalah di peringkat bawah menggerakkan jentera pentadbiran negara harus jelas bahawa amanah dan segala kuasa yang diberikan ketika ini adalah untuk kepentingan rakyat serta kemakmuran negara secara umumnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button