Semasa

Individu kritik SKMM tak sebulu dengan Anwar, dakwa tokoh wartawan alternatif

Gesaan segelintir wartawan senior agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menjadi ‘big brother’ dikritik tokoh kewartawanan media alternatif.

Mohd Sayuti Omar dalam satu tulisan dilaman Facebooknya yang dipetik portal Suara Keadilan mendakwa individu yang membuat gesaan itu terkenal sejak berdekad dekad lalu sebagai pengritik tegar Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini adalah Perdana Menteri.

Justeru tegasnya, bukan sesuatu yang menghairankan apabila mereka menggunakan kedudukan sebagai ‘orang lama’ media untuk mengecam SKMM yang tidak sebulu dengan pemikiran politik mereka.

“Sekumpulan wartawan lama yang tidak senang dengan tindakan SKMM memantau berita palsu termasuk menyekat media tertentu yang menyiarakan laporan berbentuk fitnah dan provokasi (adalah) tidak memelikkan kerana mereka sudah lama tidak senang dan jelous dengan Anwar Ibrahim.

“Mereka ialah bekas pengerusi Media Prima, Johan Jaaffar; tokoh wartawan, A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hussamuddin Yaacob; bekas pengurus besar Bernama, Azman Ujang; Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya; bekas ketua pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab dan bekas pengarang yang kini penganalisis politik, G Manimaran.

“Mereka setengahnya ada kes tersendiri dengan Anwar dan merupakan anti Anwar sejak berdekad,” kata Sayuti yang menganggap kritikan wartawan senior media arus perdana tersebut sebagai meluahkan alergi mereka terhadap arus baharu yang cuba dibawa oleh Kerajaan Perpaduan dalam bidang kewartawanan.

Sayuti bergiat dalam kewartawanan alternatif sejak 1990an dan pernah terkenal sebagai Ketua Pengarang tabloid Siasah pada era Reformasi.

Sebagai tokoh kewartawanan, Sayuti sebaris Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, pengasas Malaysiakini Steven Gan, Ketua Pengarang Media Selangor Fathi Aris Omar dan beberapa wartawan senior lain yang menentang media arus perdana sebagai ‘alat’ kerajaan pada zamannya.

Sementara itu dalam hantaran sama, Sayuti mendakwa pengkritik Anwar itu juga ada yang masih mempunyai hubungan rapat dengan para oligarki yang mencatur politik dan ekonomi negara sejak 4 dekad lalu.

Tegas Sayuti, golongan tersebut tentu sekali tidak begitu mempedulikan keharmonian kaum apabila berita berita yang disiarkan media dibela mereka sengaja membangkitkan arus politik perkauman atau agama sempit yang didukung sesetengah musuh politik PM.

“Dalam masa sama juga ada yang menjadi haiwan peliharaan tokoh tokoh tertentu yang berseteru dengan Perdana Menteri ke 10

“Jadi kalau mereka mengkritik SKMM, adalah tidak aneh kerana kritikan dan protes itu sebenarnya dituju kepada Anwar. Bagi mereka tidak ada yang rasional (berhubung) tindakan SKMM kalau ia bersifat menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button