Global

KKD bincang ruang kerjasama industri kreatif antara Malaysia-Australia

Malaysia dan Australia pada Rabu mengadakan perbincangan mengenai ruang bagi mengeratkan lagi hubungan baik dua hala terutama menerusi kerjasama ekonomi digital dan industri kreatif.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi susulan kunjungan hormat daripada Gabenor Australia Selatan Frances Adamson di pejabatnya.

“Saya juga berkesempatan menerangkan mengenai persiapan kerajaan dalam menyambut Hari Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung esok,” katanya melalui hantaran itu.

Menurut Fahmi, delegasi Adamson diiringi oleh Simon Fellows, Kuasa Usaha Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia dan para pegawai kanan Kerajaan Australia.

Fahmi pada Mac lalu menyatakan, kerajaan melalui KKD dan Digital serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) komited untuk terus meningkatkan pelaburan asing melalui insentif penerbitan filem dan perjanjian produksi antarabangsa.

Pemerkasaan itu jelasnya dibuat bagi memastikan sektor kreatif negara berkembang sebagai jentera ekonomi yang berkesan sama seperti Korea Selatan, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

Related Articles

Back to top button