Uncategorized

Peta Baharu China: Malaysia tolak tuntutan di Laut China Selatan

Malaysia pada Rabu dengan tegas menolak tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam peta standard baharu negara sosialis itu yang turut meliputi kawasan maritim negara.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Malaysia kekal konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan, dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara ini berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Peta standard baharu dikeluarkan China tegas Kementerian Luar Negeri adalah sama sekali tidak mengikat Malaysia.

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim Malaysia. Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia,” kata Wisma Putra.

Edisi 2023 peta standard China dikeluarkan pada Isnin dan dimuat naik di laman sesawang perkhidmatan peta standard yang dihoskan oleh Kementerian Sumber Asli republik itu.

Ia meliputi seluruh negeri Arunachal Pradesh, India; wilayah Aksai Chin, Taiwan, dan kawasan di perairan Laut China Selatan yang dituntut pelbagai negara termasuk Malaysia.

“Peta itu disusun berdasarkan kaedah lukisan sempadan negara China dan pelbagai negara di dunia,” menurut tabloid Global Times dalam media sosial.

Selain Malaysia, India turut menolak peta standard baharu ini yang menunjukkan negeri Arunachal Pradesh sebagai sebahagian wilayah China.

|Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan mereka telah membantah peta baharu itu melalui saluran diplomasi.

Sementara itu Kementerian Luar Negeri Malaysia berpandangan isu Laut China Selatan merupakan isu kompleks dan sensitif yang perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.

Malaysia kata kenyataan itu komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif.

“Malaysia komited terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan secara menyeluruh dan efektif.

“Selain komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin,” katanya kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button