Rakyat diseru ambil iktibar kehancuran negara lain akibat kefanatikan kaum dan agama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada kehancuran negara lain yang berpunca dari perbalahan kaum, kefanatikan agama dan masalah tatakelola serta rasuah.
Melalui amanat perdana sempena hari kebangsaan, Anwar berkata rakyat perlu merenung pilihan yang ada di tangan mereka.
Demi kelangsungan negara, perbezaan dalam masyarakat harus jadi kekuatan justeru rakyat tegasnya perlu menolak sebarang usaha melemahkan perpaduan masyarakat di negara ini.
“Tentunya bagi yang berfikiran waras ini bukan pilihan. Ini kemestian sepertimana bila Allah beri pilihan kepada kita,” tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Hari ini 31 Ogos merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-66 Malaysia.
Sementara itu Anwar menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi sebuah negara MADANI yang mengangkat martabat semua warganya.
Namun bagi mencapai perkara itu masalah tatakelola dan rasuah perlu dibenteras selain rakyat wajar menggunakan kebebasan diberikan dengan wajar dan bijak tanpa adu domba, mencerca, dan menghina antara satu sama lain.
“Dengan prasyarat itu dan dasar jelas, kita mampu mengorak langkah lagi,” katanya.