Nasional

Sekolah vernakular mampu pupuk perpaduan, tak lagi dianggap pemisah kaum

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyifatkan sekolah jenis vernakular sebagai medium baharu memupuk semangat perpaduan di negara ini.

Jelasnya, sekolah jenis itu tidak lagi dianggap sebagai pemisah antara kaum, sebaliknya sudah dilihat aliran baharu dapat melahirkan generasi baharu yang fasih lebih daripada sekadar bahasa kebangsaan.

“Kalau dahulu selalu dikatakan bahawa sekolah vernakular merupakan pemisah antara kaum; Melayu, Cina, India dan kaum . Tetapi baru-baru ini, amat menarik kerana ada dapatan wacana yang menyatakan sekolah vernakular mendapat tarikan.

“Sekarang sudah ramai anak-anak muda yang fasih bahasa Cina dan India (sebagai bahasa kedua). Perlu diingat ketika penubuhan negara kita, kerajaan mengiktiraf semua kumpulan etnik, budaya dan agama, maka kita hidup dalam komuniti perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya dipetik.

Beliau sebelumnya dijemput sebagai tetamu pada program Agenda AWANI pada Rabu.

Terdahulu media dalam laporan semalam memetik kenyataan mengejutkan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang menggesa supaya sistem sekolah vernakular di seluruh negara dapat dimansuhkan.

Pandangan bekas Pengerusi parti Bersatu itu berbeza dengan pendiriannya pada Julai tahun lalu, yang mempertahankan kewujudan sekolah bernakular dengan mendakwa desakan segelintir pihak mahu penutupan aliran tersebut hanya lebih bermotifkan politik.

Sementara itu Aaron turut menyentuh mengenai rancangan Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kali ketiga tahun ini bagi menilai tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Beliau berkata berdasarkan IPNas yang dilaksanakan bersama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2022, terdapat peningkatan tahap perpaduan negara kepada 0.62 berbanding 0.57 pada 2018

Related Articles

Back to top button