Amirudin saran adakan rekonsilasi nasional
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan telah tiba masa untuk “proses rekonsiliasi nasional” dimulakan.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, proses tersebut harus dicapai oleh pimpinan negara dan masyarakat bagi memastikan Malaysia berada dalam keadaan aman dan dapat terus bergerak ke hadapan.
“Proses rekonsiliasi atau ta’lif ini bertujuan mengurangkan ‘ketajaman’ yang kita lihat sejak tragedi ketidakbertanggungjawaban Februari 2020 yang mengabaikan proses demokrasi dan menafikan penglibatan serta peranan langsung rakyat dalam menentukan masa depan negara,” katanya. merujuk kepada Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah.
Pada ucapannya juga, Amirudin menegaskan politik dan praktis proses demokrasi bukan sebuah keadaan “pemenang-bolot-semua” dan tidak wajar dijadikan “zero-sum game”.
Tambahnya, Selangor baru sahaja melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN) yang agak kompetitif kerana ada pihak yang “bertindak melampaui batas sehingga mengabaikan dan melupakan adab”.
Sementara itu, dalam mesej berasingan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa semua pihak agar melupakan sengketa politik selepas PRN, sebaliknya memberi fokus terhadap urus tadbir dan memperkukuhkan perpaduan terutama sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Chow berkata, tanpa perpaduan rakyat, kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan tidak dapat dicapai.