Semasa

KPDN Sarawak giat basmi penyelewengan barang bersubdisi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilapor berjaya mengekang penyelewengan barang bersubsidi di Sarawak yang membabitkan nilai rampasan lebih RM10.06 juta.

Menurut Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, rampasan itu membabitkan tempoh lapan bulan ini dengan 167 kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 .

“Jumlah nilai rampasan adalah RM10,069,143.27, dengan kompaun dikenakan adalah RM574,500,” katanya dalam kenyataan semalam.

Matthew dalam kenyataan sama berkata, kes terbaharu ditumpaskan pihaknya pada Khamis dengan membabitkan penahanan lelaki berusia 28 tahun yang dikesan mengisi minyak untuk diseleweng di sebuah stesen minyak di sini.

“Pemeriksaan terhadap van digunakan suspek menjumpai 900 liter diesel dianggarkan RM1,935, tangki plastik berkapasiti 1,000 liter dan pam elektrik berserta hos,” tambah Matthew.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika individu.

Katanya, bagi kesalahan kedua, suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan supaya menyalurkannya ke platform aduan KPDN termasuk WhatsApp 019-279 4317/ 019-848 8000 atau portal e-Aduan.

Related Articles

Back to top button