Politik

Lagu ‘Setia’ jadi wadah DAP sampaikan mesej perpaduan – Anthony Loke

Lagu ‘Setia’ akan diguna pakai untuk menyampaikan mesej perpaduan dibawa DAP, sesuai dengan status parti itu sebagai antara komponen utama Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bait lagu berkenaan membawa pengertian mendalam untuk negara majmuk seperti Malaysia.

Menurut beliau, iklim politik semasa menyaksikan perpecahan meningkat dengan mendadak, justeru lagu berkenaan adalah wadah terbaik untuk disampaikan kepada rakyat.

“Lagu ‘Setia’ yang dicipta oleh Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat tetap menjadi kegemaran peribadi saya sejak di bangku sekolah apabila ia dimasukkan sebagai sebahagian daripada perhimpunan mingguan.

“Mereka yang membesar pada tahun 1980an pasti mengenali lagu ini dengan baik dan saya rasa ia antara lagu patriotik terbaik pernah ditulis,” katanya.

Jelas Menteri Pengangkutan itu, lirik lagu berkenaan amat menepati kriteria pembinaan negara yang bersatu padu dan amat sesuai jika digunakan sebagai mesej kepada rakyat.

“Saya menugaskan komposer tempatan untuk menyusun semula ‘Setia’ dan menghabiskan beberapa jam di studio rakaman bersama ahli parlimen DAP lain termasuk Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menghasilkan ‘Kitalah Malaysia – Setia (2023)’,” katanya.

Related Articles

Back to top button