ekonomi

MITI akan adakan mesyuarat, bincang isu dihadapi pengeluar perabut

Satu mesyuarat meja bulat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor dijangka akan diadakan pada Oktober ini di Kuala Lumpur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan isu dan cabaran dihadapi industri perabut terutama di Muar yang merupakan pusat pengeluaran perabot terbesar di Malaysia.

“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi, cabaran dihadapi industri kerana sebenarnya industri perabot ini satu industri yang besar dan kalau dilihat dari jumlah dagangan ia telah mencecah hampir RM19 bilion pada 2022.

“Eksport kita pun besar dan Muar merupakan salah satu kawasan industri perabot terbesar di Malaysia, 60 peratus daripada industrinya di sini dan antara cabaran dihadapi dibangkitkan antaranya pekerja berkemahiran dan membantu mereka memecah pasaran baharu terutama di luar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis Perabot Malaysia dan Persatuan Perabot Muar hari ini.

Pertemuan itu turut disertai Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Sementara itu ketika mengulas projek Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Tengku Zafrul berkata pertemuan juga akan diatur dengan Johor Corporation (JCorp) yang membangunkan taman perindustrian berkenaan bagi membincangkan bentuk sokongan yang boleh diberikan kerajaan.

“Pemain industri harap Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat bincang dengan pihak terlibat iaitu Jcorp, saya percaya ada satu idea dibangkitkan bagaimana Muar Furniture City ini dapat bantu industri perabot ini dan kita akan bincangkan dengan lebih mendalam bila kita berjumpa,” katanya yang yakin kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu melonjakkan lagi potensi Muar sebagai pengeluar perabot terbesar negara.

Related Articles

Back to top button