Pilihanraya

PRK: Nazri mahu perkasa TVET, bantu anak muda ceburi industri perabot

Calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecik (PRK) DUN Simpang Jeram berhasrat untuk memperkasakan lagi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dalam kalangan anak muda di kawasan itu.

Nazri Abdul Rahman berkata, hasrat itu memandangkan status Muar yang merupakan kawasan pengeluaran perabot terbesar di negara ini.

Tambahnya, dengan rancangan pembangunan Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Muar, kemahiran anak muda di kawasan itu perlu ditingkatkan agar mereka dapat mengisi peluang pekerjaan di kawasan terbabit.

“Saya ada iltizam supaya generasi muda yang berpendidikan hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak berminat sambung pelajaran dalam bidang akademik, digalakkan mengambil TVET.

“Di Muar kita ada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) serta kolej vokasional yang boleh menyediakan latihan yang bersesuaian.

“Malah kerajaan pun turut memberi galakan kepada golongan belia untuk menyertai program TVET ini dan apabila tamat belajar kelak, mereka boleh ditempatkan di kawasan industri berkenaan apabila ia siap nanti,” katanya dipetik.

MFP yang meliputi kawasan seluas 399.4 hektar, merupakan hub bersepadu pengeluaran perabot negara yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Industri perabot negara mencatatkan eksport RM19 bilion pada tahun lepas, dengan 60 peratus daripada hasil itu melalui industri perabot yang berada di Muar.

Related Articles

Back to top button