Program EMRKL pupuk perpaduan, wajar diteruskan – Hannah Yeoh
Program Eksplorasi Merdeka Rapid KL (EMRKL) anjuran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) wajar diteruskan pada sambutan Hari Kebangsaan akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan.
Jelas Hannah Yeoh, program itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.
“Semangat berpasukan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan dapat dipertingkatkan dengan menyertai program seperti ini,” katanya .
Hannah pada Khamis sempat hadir ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT ) Bukit Jalil bagi meninjau aktiviti peserta Eksplorasi Merdeka yang diadakan pada Khamis.
EMRKL merupakan program explorace bertemakan budaya dengan misi memupuk perpaduan dimana peserta perlu pergi ke tujuh check-point dan lokasi terpilih di jajaran rel Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Rapid KL di sekitar bandar raya Kuala Lumpur sebelum kembali semula ke Stesen LRT Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah memaklumkan, program yang memasuki tahun kedua penganjuran berjaya menarik hampir 800 peserta melibatkan 200 kumpulan, meningkat empat kali ganda berbanding tahun lepas .
Sementara itu, Prasarana dalam kenyataan media yang diedarkan berkata, program itu dianjurkan bertujuan meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Pelbagai aktiviti dan misi menarik diselitkan dengan tema kemerdekaan serta budaya yang perlu diselesaikan oleh peserta di lokasi dan check-point tertentu di sepanjang rangkaian rel dan bas Rapid KL di sekitar ibu negara.