Negeri

Sambutan Hari Sabah kembali selepas 60 tahun

Selepas 60 tahun, sambutan Hari Sabah diraikan kembali di negeri itu bersekali dengan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sambutan semula Hari Sabah itu bagi mengenang jasa pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan dalam memastikan Sabah serta negara aman dan makmur.

“Menyedari akan pentingnya Hari Sabah ini kepada seluruh rakyat maka kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan kembali sambutan Hari Sabah di negeri ini dengan Tambunan menjadi tuan rumah pada tahun ini.

“Keputusan kerajaan negeri mengadakan semula Hari Sabah sebagai memperingati hari yang berakhirnya pemerintahan penjajah Inggeris di Sabah. Sementara Sarawak lebih awal mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun sebagai Hari Sarawak,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sabah di Tambunan.

Sambutan itu diserikan dengan perarakan kira-kira 500 peserta daripada 100 kontinjen antaranya agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Tambunan serta Persatuan Kebajikan Prihatin Sabah dan Sekolah Adat Negeri Sabah.

Hajiji dalam ucapannya berkata Hari Sabah telah diisytiharkan Gabenor British Sir William Goode pada 28 Ogos 1963 di Jesselton, kini Kota Kinabalu, dengan mengisytiharkan Sabah akan mempunyai kerajaan sendiri serta mengguna pakai Perlembagaan Negeri baru, berkuat kuasa 31 Ogos 1963.

Beliau berkata dengan terbentuknya kerajaan sendiri itu, ia menjadi permulaan kepada langkah lebih besar Sabah iaitu membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 Sept 1963.

Related Articles

Back to top button