Semasa

Pemimpin pemecahbelah masyarakat ganggu usaha bangunkan negara, tegas Premier Sarawak

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kecewa dengan sikap pemimpin yang terdesak menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Sarawak 2023 di Dewan Politeknik Mukah pada Khamis, Abang Johari berkata, tindak tanduk pemimpin itu telah menyebabkan tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaga untuk kemajuan keseluruhannya.

“Sudah pasti ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik COVID-19, peperangan dan perubahan iklim global.

“Satu negara sepatutnya bersatu untuk menghadapi semua permasalahan ini,” katanya .

Pada ucapan itu juga beliau memberi amaran bahawa perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri akan cenderung membawa kepada perpecahan dari segi perbezaan agama dan bangsa atau keturunan atau dari segi wilayah.

“Jika kita saling mengesyaki antara satu sama lain dan asyik ‘berbentes’ seperti kata Allahyarham Tok Nan maka tenaga dan pemikiran kita hanya ditumpukan untuk menidakkan dan mengalahkan pihak lawan.

“Alhamdullilah, bagi Sarawak kestabilan politik dan keutuhan kerajaan di bawah pentadbiran GPS telah memberi ruang kepada negeri kita untuk melakar hala tuju yang jelas dari segi pembangunan ekonomi, khususnya melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 atau PCDS 2030,” katanya.

Beliau sementara itu turut mengingatkan rakyat negara ini supaya menghayati makna sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan jelasnya bermakna kebebasan menentukan hala tuju Malaysia sebagai negara berdaulat.

Bagi rakyat Sarawak, beliau menekankan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah sama penting dengan kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963.

“Ini kerana ia telah mencetuskan idea dan usaha untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah, termasuk Singapura untuk menubuhkan sebuah negara baharu pada 16 September 1963 yang dinamakan Malaysia.

“Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang diangkat iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, sama-sama kita mendoakan agar negara Malaysia terus stabil dengan rakyatnya terus berusaha mengukuhkan perpaduan kerana keharmonian rakyat adalah tonggak kemajuan negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button