Sukan

KBS tunai janji bawa Muhammad Aqil temu pakar prostetik

Murid Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Aqil Naufal Zahiran telah dibawa bertemu dengan pakar untuk menentukan jenis prostetik yang diperlukan bagi membolehkannya menyertai aktiviti sukan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kementeriannya melalui Institut Sukan Negara (ISN), akan menyelia pemasangan prostetik bagi murid berusia 11 tersebut yang memerlukan kaki palsu paras pinggul.

“Ia bukan tentang menjadi yang terpantas, tetapi mengenai keinginan dan keazamannya untuk menamatkan perlumbaan yang mengagumkan saya,” kata Hannah dalam hantaran tersebut.

Muhammad Aqil merupakan murid Program Pendidikan Inklusif Penuh di sebuah sekolah rendah di Pahang itu, kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman pada 2015.

Kisahnya menjadi tular, apabila klip yang memaparkannya menamatkan perlumbaan 100 meter menggunakan tongkat, dalam satu Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas.

Sementara itu, Pakar Perubatan Sukan di ISN Dr Ahmad Munawwar Helmi berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas Muhammad Aqil, bagi memastikan tiada sebarang komplikasi yang berlaku sekiranya beliau memakai kaki palsu berkenaan.

“Kami membuat pemeriksaan susulan untuk memastikan sokongan jangka panjang dan tiada komplikasi,” katanya.

Turut hadir pada sesi pertemuan tersebut adalah pihak Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengetuai inisiatif Projek Tongkat yang bertujuan menawarkan sokongan, kepada mereka yang diamputasi melalui sukan.

Related Articles

Back to top button