Nasional

Peranan Jabatan Audit Negara diperluasa

Bidang kuasa Jabatan Audit Negara (JAN) diperkukuh dan diperluaskan supaya dapat merangkumi peranan institusi hisbah atau ombudsman, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar dalam satu sidang media di Putrajaya pada Jumaat berkata, tanggungjawab tambahan diberikan kepada JAN supaya kementerian dan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri memandang serius setiap teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Ini masih dalam perbincangan tapi yang penting kita mahu perluas bidang tugas JAN,” katanya yang juga Menteri Kewangan selepas mengadakan perjumpaan bersama pengurusan dan warga JAN.

Sementara itu jelas Anwar, peranan audit itu perlu “muhtasim” (disegani) bukan sahaja audit dari segi kewangan tetapi audit dari segi pematuhan kepada peraturan dan prinsip bagi mengelak daripada kecurangan sama ada dalam bentuk rasuah, ketirisan atau kecuaian.

Beliau menegaskan pengabaian terhadap budaya tidak mengendahkan teguran LKAN perlu dinoktahkan terutamanya teguran terhadap salah guna kuasa, kecuaian atau penipuan.

Sementara itu Anwar mengimbau ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1991 hingga 1998 dimana beliau mengangkat LKAN sebagai suatu dokumen yang penting dan ketika menjadi Ketua Pembangkang pula, beliau meneliti setiap helaian LKAN untuk memberi teguran keras kepada kerajaan.

Mulai sekarang tegas Anwar setiap teguran itu mesti dijawab sekiranya ia berlaku.

“Sebab itu tahun ini, sebaik LKAN dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, semua menteri termasuk ketua setiausaha dan ketua pengarah masing-masing diwajibkan untuk meneliti laporan ini dan memberi jawapan atau tindakan yang memuaskan,” katanya.

Anwar berkata sekiranya mana-mana kementerian atau jabatan tidak mengambil tindakan susulan secara serius ke atas teguran dalam LKAN, tindakan seumpama itu akan dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Kewangan (MoF) dan agensi penguat kuasa yang berkaitan.

Anwar juga mahu MoF mengetuai suatu tugasan untuk meneliti semua laporan LKAN dan memastikan setiap kementerian dan jabatan patuh terhadap teguran.

Related Articles

Back to top button