Pilihanraya

Petisyen pilihan raya 4 kerusi dikemukakan dalam masa terdekat – Amirudin

Petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lepas akan dikemukakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

“(Petisyen) itu sedang diperhalusi, kita telah bincang untuk pihak PKR dahulu dan memang kita sudah semak semua perkara.

“Insya-Allah ia akan dikemukakan dalam masa terdekat, kita sedang menunggu proses keputusan pewartaan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Malaysia peringkat Selangor 2023 di Kuala Langat, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi PRN di enam negeri sudah diwartakan pada 29 Ogos lalu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpinan Negeri dengan pasukan peguam akan membuat penelitian lanjut berhubung kes di semua kerusi berkenaan.

Related Articles

Back to top button