Nasional

Sarawak dipilih anjurkan sambutan Hari Malaysia tahun ini

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak, pada 16 September ini.

Jawatankuasa Media dan Publisiti (JKMP) sambutan itu memaklumkan, Sarawak diberikan kepercayaan untuk menganjurkan sambutan tahun ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 24 Jun 2020 yang antara lain bersetuju sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Menurut JKMP, sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan itu akan menggunakan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Bagaimanapun, tambahan cogan kata dalam Bahasa Iban iaitu “Segulai Sejalai”, yang membawa maksud “berjalan seringan”, akan turut akan digunakan pada sambutan itu nanti.

“Cogan kata ini amat bertepatan dengan Sambutan Hari Malaysia yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini. Ia menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia MADANI,” menurut JKMP.

Antara pengisian menarik yang dijadualkan pada sambutan tersebut ialah upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Konsert Hari Malaysia.

Majlis dijadual bermula dengan acara prapersembahan pada jam 7 malam dan acara rasmi bermula pada jam 8.30 malam dengan ketibaan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salang.

Related Articles

Back to top button