Semasa

Taklik cerai isteri jika PM tak bertukar: jangan jatuhkan maruah wanita – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan golongan suami bertanggungjawab dengan tidak melibatkan maruah isteri dalam taklik.

Merujuk lafaz taklik seorang penyokong parti bahawa akan menceraikan isterinya talak tiga sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos, Mohd Na’im berkata dari sudut hukum, apa-apa pun taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Tambahnya, di bawah peruntukan undang-undang jelas menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

“Jadi dinasihatkan kepada isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

“Hanya hakim syarie di mana pasangan terbabit bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Jumaat.

Terdahulu, isu lelaki itu yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak jika kerajaan tidak bertukar pada akhir Ogos tular di media sosial.

Ia kembali hangat apabila orang ramai mempersoalkan sama ada talak telah jatuh atau sebaliknya selepas berakhirnya bulan Ogos.

“Apabila taklik dikaitkan dengan penceraian dengan talak tiga kepada seorang isteri, ia perkara yang amat tidak bertanggungjawab kerana isteri tidak boleh dijadikan objek atau pertukaran kepada sesuatu taklik.

“Isteri sepatutnya dinaikkan martabat. Islam sendiri telah menaikkan taraf seorang isteri dan wanita,” tambah Mohd Na’im.

Related Articles

Back to top button