Semasa

Agong, Raja Permaisuri Agong ucap takziah kepada keluarga mangsa kemalangan di Segamat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lepas.

Turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara dalam satu catatan di Facebook berkata, baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mangsa sekeluarga dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Enam sekeluarga mangsa kemalangan maut tersebut ialah Amir Ruddin Ismail, 46, Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah Amir Ruddin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Ruddin, 13, Rufaidatul Asyariyah Amir Ruddin, 10 dan Muhammad Assyakrawi Amir Ruddin, 5.

Terdahulu dilaporkan, kemalangan berkenaan yang berlaku pada 6.37 petang Jumaat melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah Honda HRV, sebuah Proton Wira, sebuah Perodua Bezza dan Perodua Alza yang dinaiki mangsa sekeluarga.

Lima mangsa tersebut meninggal dunia di lokasi manakala Muhammad Assyakrawi, meninggal ketika menerima rawatan.

Seorang lagi anak Amir Ruddin yang juga mangsa kemalangan, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas sebuah lori membawa muatan pasir hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Related Articles

Back to top button