Semasa

Jadi pengguna internet yang bijak, jangan jadi mangsa penipuan siber – Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menggesa supaya isu keselamatan siber dilihat sebagai isu kritikal yang wajar diberi perhatian.

Berucap pada Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Sarawak di Kuching pada Sabtu, Fahmi berkata pengguna internet perlu selalu berwaspada dan melengkapkan diri dengan pengetahuan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Isu keselamatan siber menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh kerajaan, pertubuhan swasta dan industri, persatuan dan badan bukan kerajaan termasuk pengguna sendiri.” katanya pada jelajah dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementerian menerusi agensi-agensi seperti CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan sentiasa giat melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menangani ancaman dan jenayah siber.

Bagi tujuan itu juga, kementerian juga telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang membolehkan mangsa terus membuat laporan menerusi talian 997.

“Jika anda menjadi mangsa jenayah siber, tampil ke hadapan dan buat laporan kerana melalui laporan itu ia akan membantu pihak berkuasa menganalisis trend jenayah dan merangka program untuk langkah pencegahan selanjutnya,” tambahnya.

Jelajah berkenaan bermula sejak 18 Februari lalu di Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum ke Perlis dan dijangka turut diadakan di Kelantan, Sabah dan Johor sebelum berakhir di Putrajaya.

Ia adalah usaha kementerian memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna mengenai kaedah mengenali panggilan ‘scam,’ tatacara serta modus operandi penipuan terkini bagi menghindari diri daripada menjadi mangsa ‘scam’ atau ancaman siber yang lain.

Related Articles

Back to top button