Sukan

KBS mohon MOF masukkan yuran latihan sukan dalam senarai pelepasan cukai

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang membuat permohonan dari Kementerian Kewangan bagi memasukkan kos atau yuran latihan sukan dalam senarai pelepasan cukai.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, permohonan itu dibuat menerusi Belanjawan 2024 yang sekiranya dipersetujui akan memberi manfaat kepada ramai.

Tambahnya, ketika ini berdasarkan pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997, hanya pembelian alatan sukan diberi pelepasan cukai.

“Sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan masih berjalan dan tahun ini kita fokus memohon untuk memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa atau individu yang berbelanja untuk latihan sukan. Objektifnya adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat antara rakyat Malaysia.

“Kanak-kanak didorong pada usia muda untuk mengikuti latihan sukan. Ini juga akan membantu atlet kita mempunyai pekerjaan jika ramai menggunakan khidmat latihan sukan. Kita mahu melalui kaedah ini, industri sukan boleh membangun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Sabah (EISS) 2023 di Shah Alam pada Sabtu.
EISS adalah program julung kali diadakan di Sabah bertujuan memberi pendedahan mengenai peranan dan sumbangan pelbagai segmen industri sukan termasuk pelancongan sukan, kemudahan sukan, peruncitan sukan, perubatan sukan, pengurusan acara sukan dan pendidikan sukan.

Program anjuran KBS menerusi Sektretariat Industri Sukan itu berlangsung selama dua hari, melibatkan penyertaan 40 pemain industri sukan dari Semenanjung dan Sabah.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin yang turut menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman dalam bidang peralatan dan fasiliti sukan.

Terdahulu, Hannah dalam ucapannya berkata, Sabah terkenal dengan destinasi sukan menarik seperti selam skuba, pendakian gunung, golf dan aktiviti semula jadi lain.

Sebagai dorongan pertumbuhan industri sukan di negeri itu, beliau berkata kementeriannya telah meluluskan sebanyak RM774,000 daripada permohonan Geran Padanan Sukan kepada syarikat dan pertubuhan sukan di Sabah.

Related Articles

Back to top button