Uncategorized

Malaysia pegang konvensyen, pastikan kedaulatan perairan negara terus dipertahan

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan akan sentiasa bersiap siaga menjaga kedaulatan negara perairan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata begitu susulan isu terbaharu berkaitan tuntutan China di Laut China Selatan.

Tegasnya, kementerian sentiasa berpegang dengan apa yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982) dalam memastikan kedaulatan sempadan negara.

“Yang paling penting kita di MINDEF menjaga perairan dan kedaulatan negara, itu yang kita beri tumpuan, China mungkin ada pandangan tetapi seperti disebut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam amanat beliau, bahawa kita akan pertahankan setiap seinci tanah atau kedaulatan bumi Malaysia,” katanya.

Adly ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pejabat Veteran ATM Cawangan Muar yang turut dihadiri Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar pada Sabtu.

Kementerian Sumber Asli China pada Isnin mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Kementerian Luar pada Rabu menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China dan peta baharu yang dikeluarkan tegas Wisma Putra sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Susulan itu Kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Adly menggesa 100,000 veteran tidak berpencen ketika ini untuk segera mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memudahkan penyaluran bantuan.

Ini jelasnya termasuk pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada veteran tidak berpencen yang bermula bulan ini yang dijangka memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

Related Articles

Back to top button