Uncategorized

MOT percepat kelulusan lesen operasi MICT, bantu jana sektor pelancongan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan kementeriannya akan mempercepatkan kelulusan lesen operasi Terminal Kapal Pesiaran Antarabangsa Melaka (MICT).

Beliau yang dipetik laporan New Straits Times (NST) berkata, langkah itu memandangkan MICT mempunyai potensi besar untik meningkatkan ekonomi negeri itu melalui sektor pelancongan.

“Kita menyokong untuk menghidupkan semula terminal pesiaran di Melaka Gateway kerana ia adalah projek yang boleh dilaksanakan dan ia akan menyokong sektor pelancongan Melaka.

“Malah pada Jumaat lalu saya berjumpa dengan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh untuk membincangkan perkara ini. Kerajaan negeri juga menyokongnya.

“Semoga kita dapat menghidupkan semula lesen operasi Melaka Gateway untuk menjadi terminal pelayaran antarabangsa secepat mungkin,” kata Loke.

Loke pada Mac lalu menekankan bahawa keputusan pemberhentian operasi MICT hanya akan mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan.

Sementara itu, jelasnya, kementeriannya turut akan melaksana strategi untuk menarik lebih banyak kapal pesiar untuk menjadikan Malaysia sebagai pelabuhan.

Inisiatif ini, katanya, bertujuan untuk memperkukuh pelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan mengalihkan tumpuan daripada Malaysia sebagai pelabuhan persinggahan kepada menjadi destinasi pelabuhan asal pilihan.

“Kajian menunjukkan penumpang yang menggunakan Malaysia sebagai pelabuhan asal mereka untuk pelayaran cenderung berbelanja tiga kali ganda lebih banyak daripada mereka yang singgah sebentar,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button