Orang Melayu tidak perlu takut dengan Malaysian Malaysia – Sheikh Omar
Orang Melayu tidak perlu takut dengan slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP, kata Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali.
Beliau berkata, slogan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara, malah selari dengan prinsip Rukun Negara.
Menurutnya, slogan tersebut tidak sepatutnya menjadi isu lebih-lebih lagi dalam suasana kempen dan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kita seharusnya mengelak daripada polemik ini berterusan dan mencari titik persamaan perpaduan (antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) untuk berkempen dalam pilihan raya ini.
“Sebab itu kita setuju bentuk Kerajaan Perpaduan dan (semua parti) setuju Perlembagaan parti ini, tiada masalah antara satu sama lain. Jadi seharusnya perkara ini tidak timbul.
“Slogan itu tidak perlu digugurkan dan pada masa sama tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP adalah satu ancaman,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah.
Mengulas lanjut, Sheikh Omar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berharap, akar umbi terutama Umno mendapat kefahaman jelas mengenai isu berkenaan.
Katanya, kesangsian serta curiga orang Melayu itu perkara biasa dan ia memerlukan masa untuk menerimanya.
Beliau berkata, rasa sangsi serta curiga orang Melayu itu adalah perkara biasa dan memerlukan masa untuk menerimanya serta usaha memberi penjelasan sedang dilakukan jentera parti ketika ini.
Menurutnya, slogan tersebut tidak perlu digugurkan dan pada masa sama tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP adalah satu ancaman.
“Saya tidak ada sebarang sangka buruk kerana saya tahu ramai dalam kalangan kita (masih baru) untuk serasi dengan gerak kerja dan kolaborasi ini, jadi ramai orang nyatakan kekhuatiran dan banyak benda terkeluar (merujuk kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed),” katanya.