ekonomi

Usahawan PKS digesa rebut peluang NIMP 2030

Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini perlu tangkas merebut peluang dicadangkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Gesaan itu dinyatakan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng sebagai menyambut usaha terbaharu oleh Kerajaan Perpaduan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Tambah Ng, pelan berkenaan berupaya mengubah mentaliti ‘Buatan Malaysia’ kepada pendekatan ‘Inovasi Malaysia’.

“PKS, sewajarnya tidak lagi mengehadkan peluang untuk menjadi pengeluar barangan (OEM), sebaliknya perlu meningkatkan rantaian nilai untuk tampil sebagai pengeluar reka bentuk (ODM) dan pemilik jenama (OBM),” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, Ng berkata PKS perlu mengeratkan lagi hubungan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, serta “mendalami” perjanjian-perjanjian perdagangan pelbagai hala untuk memanfaatkan peluang rantaian nilai global yang lebih baik.

NIMP 2030 menggariskan aspirasi Malaysia untuk membantu sektor perindustrian meningkatkan peranan dalam rantaian nilai global, menaikkan nilai tambah dan memacu daya saing PKS.

Anwar ketika pelancarannya berkata, pelan itu merupakan sebahagian komponen Ekonomi MADANI, yang akan menghidupkan semula sektor pembuatan, bagi memastikan negara kekal berdaya saing, di sebalik cabaran dan trend mega yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, kerjaan jelasnya memperuntukkan hampir RM8.2 bilion bagi merangsangkan pelaburan dan pembabitan industri NIMP 2030.

Related Articles

Back to top button