Sukan

KBS lancar program perkhemahan RAHMAH keluarga di tujuh Kem Wawasan Negara

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) memperkenal satu lagi inisiatif untuk rakyat .

Selaras dengan agenda merakyatkan sukan, menterinya Hannah Yeoh pada Ahad mengumumkan fasiliti Kem Wawasan Negara kini dibuka untuk kegunaan orang ramai berkhemah dan rekreasi bersama keluarga.

Menurut beliau Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan dipilih sebagai program rintis yang menawarkan perkhemahan keluarga secara percuma selama sebulan bermula 1 Sept bagi setiap Sabtu dan Ahad.

“Bagaimanapun pada bulan berikut dan seterusnya, mereka akan dikenakan bayaran minimum yang sesuai atau pada kadar mampu mungkin sekitar antara RM10 atau RM20 bagi setiap keluarga sebagai salah satu inisiatif Rahmah KBS dalam menjayakan program ini.

“Caj yang dikenakan itu bertujuan bagi kerja pembersihan kawasan, utiliti dan program ini terbuka untuk semua warga negara yang berminat dengan aktiviti perkhemahan dan gaya hidup sihat bagi menyokong matlamat pembangunan mampan,” katanya sambil memaklumkan program akan diperluas ke Kem Wawasan Negara lain iaitu di Langkawi, Kedah; Balik Pulau, Pulau Pinang; Ulu Kenas, Perak; Maran, Pahang; Kundasang, Sabah dan Besut, Terengganu bermula Oktober ini

Hannah sementara itu berkata, beliau berharap inisiatif itu dapat meningkatkan hubungan dan rasa tanggungjawab kekeluargaan dalam kalangan rakyat serta memupuk keseimbangan kerjaya dan kehidupan.

Kem Wawasan Negara yang mempunyai beberapa kemudahan seperti surau, tandas awam dan kawasan riadah sesuai dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah untuk kepentingan masyarakat terutama dalam memupuk amalan dan budaya nilai murni.

Pengunjung jelasnya perlu mematuhi aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) rekreasi ditetapkan.

“Peserta perkhemahan dikehendaki akur dan patuh dengan peraturan ditetapkan seperti larangan merokok dan vape (rokok elektronik) di dalam kawasan kem, menjaga kebersihan kawasan perkhemahan dan bebas daripada pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah,” tambah Hannah.

Related Articles

Back to top button