Kerajaan akan pastikan harga beras tempatan tak meningkat – PM Anwar
Harga bagi beras tempatan tidak akan mengalami kenaikan meskipun harga beras import daripada India meningkat sebanyak 40 peratus, tegas Perdana Menteri.
Berucap di pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sungai Abong, di Muar malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan akan memastikan perkara itu.
Tambahnya, kerajaan akan memastikan perkara itu khususnya demi kepentingan golongan sasar atau yang memerlukan untuk tidak berhadapan dengan sebarang isu bekalan beras.
“Beras sekarang ini naik harga, bawang dari India eksport (juga) naik cukai 40 peratus. Ada masalah?. Ya, tetapi apa kita buat adalah kita kata, beras putih import naik harga memang tidak boleh kawal.
“Beras yang dimakan oleh rakyat, tidak boleh naik, itu keputusan kita tetapi ada yang cakap beras naik. Kenapa beli beras mahal, beras import, kalau nak beli beras Basmathi kenalah bayar, saya jaga rakyat dan kalau perlu tambah, kita tambah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun selepas pengeksport utama, India menyekat penghantaran beras putih bukan basmati pada hujung Julai lalu.
Susulan situasi itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan memberitahu, harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram berkuat kuasa kelmarin.
Kerajaan melalui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini memaklumkan akan melaksana langkah bagi meningkatkan hasil padi dalam beberapa tahun akan datang bagi memastikan bekalan beras.
Kerajaan jelasnya bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun.
Ketika ini kerajaan turut melarang pengeksportan beras tempatan ke luar negara bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terlalu terjejas.