Politik

Muhyiddin diingatkan jangan sewenangnya jatuhkan hukum haram kepada seteru politik

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa tidak mempermain hukum agama.

Ia susulan tindakan Muhyiddin mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon parti kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat ketika diminta mengulas kenyataan yang dilemparkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terhadap beliau semasa Ceramah Perdana PN di Kempas baru-baru ini berkata, sesuatu hukum agama tidak wajar dipermainkan terutama untuk meraih sokongan.

“Dari segi politik saya tiada masalah sekiranya dia tak mahu undi saya, Tetapi apabila sebut haram sokong Suhaizan, itu tidak sesuai sebab seolah-olah mempermainkan hukum Allah.

“Kita tak boleh sewenang-sewenangnya menghukum seperti ini kepada seteru politik, sebab akan ada kesan tidak baik. Nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama jentera MCA di Taman Perling.

Muhyiddin yang merupakan Presiden parti bersatu dalam ucapannya meminta pengundi tidak memberi undi kepada Suhaizan yang merupakan bekas Speaker DUN Johor .

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana,” kata bekas Perdana Menteri yang pernah dikritik kerana menyebabkan rakyat terpaksa mengibarkan bendera putih bagi mengharapkan bantuan pihak lain ketika era pentadbirannya itu.

Sementara itu, Suhaizan berharap semua pihak sama ada kepimpinan parti lawan atau penyokong mereka tidak menggunakan agama sebagai bahan kempen.

Ia selari dengan titah peringatan Yang Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai lalu yang mahu semua pihak agar menghentikan amalan tidak sihat itu sehingga ada yang sanggup menyentuh isu sensitif iaitu perkara 3R (raja, agama dan bangsa).

Related Articles

Back to top button