PM Anwar ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak ASEAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di sini dari 5 hingga 7 September ini, yang kedua dihadirinya selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo.
Bagaimanapun, ini merupakan sidang kemuncak pertama bagi Perdana Menteri bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
“Perdana Menteri yang mempunyai jadual padat dijangka tiba petang esok diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan delegasi,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan perasmian Forum ASEAN-Indo Pasifik (AIPF) serta mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di sini dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar.
Anwar akan menyertai enam sidang kemuncak pada Rabu iaitu ASEAN-China Ke-26, ASEAN-Korea Selatan Ke-24, ASEAN-Jepun Ke-26, ASEAN Campur Tiga (APT) Ke-26, ASEAN-Amerika Syarikat Ke-11 dan ASEAN-Kanada bagi melancarkan Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.
Empat sidang kemuncak akan disertai pada Khamis iaitu ASEAN-India Ke-20, Asia Timur (EAS) Ke-18, ASEAN-Australia Ketiga dan ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-13.
Semasa persidangan, 11 pertemuan dua hala telah dijadualkan iaitu dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
Pertemuan lain adalah dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin, Perdana Menteri India, Narendra Modi, Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmão, Setiausaha Agung PBB, António Guterres dan Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, Prof Klaus Schwab.
Zambry berkata, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini akan didahului dengan beberapa mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN esok iaitu Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.
Lain-lain adalah Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-27, dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-34 (Mesyuarat ACC ke-34).
Zambry turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Kemboja Sok Chenda Sophea, Menteri Luar Serbia Ivica Dačić, dan Menteri Luar Peru Ana Gervasi.
“Penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak kali ini akan dapat mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik serta menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalankan hubungannya dengan rakan-rakan luar,” kata Zambry.
Penglibatan Malaysia turut menzahirkan komitmen teguh negara terhadap usaha pembinaan komuniti ASEAN, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta usaha menggalakkan keamanan dan kestabilan tatkala menghadapi evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar.