Anwar

PM Anwar lulus pengambilan pekerja asing di 3 sektor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan permohonan sebahagian pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor iaitu kedai gunting rambut, gedung tekstil dan kedai emas yang sebelum ini dibekukan.

Beliau bagaimanapun meletakkan syarat agar golongan belia tempatan dilatih bagi mengisi sebahagian lagi keperluan tenaga kerja tiga sektor berkenaan.

“Tapi saya tak nak bagi penuh sebab saya rasa perlu cari jalan biar melalui TVET, melalui modal TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional), biar dia cari jalan bagi modal.

“Kalau kedai-kedai india bagi anak-anak india bagi dia latihan sebab sekarang orang muda dia bukan mahu gunting macam dulu, tidak ada lagi sudah, dia kita bagi latihan,” jelas beliau.

Tambah beliau, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat ini memandangkan ia melibatkan keperluan segera.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani, Kompleks Tun Sambatahan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan, jumlah yang diperlukan untuk tiga sektor berkenaan kira-kira 15,000 pekerja.

“Ketiga-tiga ini menghadapi masalah sejak beberapa tahun kerana mereka tidak boleh bawa pekerja asing untuk bekerja dalam ketiga-tiga sektor tersebut kerana ianya telah dibekukan.

“Banyak usaha telah diambil untuk membolehkan orang tempatan untuk bekerja dalam sektor ini tetapi banyak kekangan-kekangan yang menyebabkan mereka sukar mendapat tenaga kerja tempatan, maka permintaan untuk ketiga-tiga sektor ini berterusan bertahun-tahun,” katanya yang turut hadir pada majlis sama.

Jelas Sivakumar lagi, pemintaan pekerja asing bagi sektor restoran yang juga dibekukan sebelum ini telah diselesaikan apabila permohonannya dibuka awal tahun ini.

Related Articles

Back to top button