Negeri

Pulau Pinang akan bantu penternak ikan terjejas fenomena air pasang merah

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan kepada penternak ikan dalam sangkar di sekitar perairan Teluk Bahang yang terkesan dengan fenomena air pasang merah sejak minggu lepas yang menyebabkan ternakan mereka mati.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata bantuan itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung mereka susulan kerugian ditanggung.

“Kejadian itu telah menyebabkan enam penternak ikan dalam sangkar mengalami kerugian selepas 12 tan ikan yang diternak mati, saya telah bawa perkara ini ke mesyuarat exco (minggu lepas) dan mohon bantuan yang sesuai daripada kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kerugian yang ditanggung mereka.

”Mungkin kita (kerajaan negeri) akan bantu penternak dari segi pemberian benih ikan atau bantuan tunai, yang akan disalurkan dengan persetujuan dan kelulusan Ketua Menteri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu.

Fahmi sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI di kawasan DUN Pantai Jerejak di Bayan Baru.

Sebelum ini beberapa nelayan sekitar sini menyuarakan rasa bimbang dengan fenomena tersebut yang sekaligus menjejaskan penternakan mereka.

Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa keputusan awal analisis yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung mendapati kejadian itu berpunca daripada kemunculan sejenis alga dari spesies Noctiluca Scintillans, yang bersifat bukan toksin namun idak berbahaya kepada manusia.

Fahmi sementara itu berkata berdasarkan kepada pemantauan agensi terlibat, fenomena air merah itu didapati tidak merebak ke kawasan perairan lain di negeri ini, dan kewujudannya di perairan berkenaan juga kelihatan semakin berkurangan.

“Kajian juga mendapati ikan (yang mati) itu tidak berbahaya kepada manusia dan boleh dimakan, tapi kita faham penduduk takut untuk makan ikan itu. Ikan-ikan berkenaan mati disebabkan alga masuk ke dalam insang menyebabkan ia (ikan) kekurangan oksigen dan mati,” katanya yang turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kehadiran alga berkenaan berpunca daripada kegiatan penambakan laut.

Related Articles

Back to top button