1,053 pemeriksaan babitkan beras dijalankan menerusi Ops Jamin
Sebanyak 47 aduan berkaitan isu beras diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Jamin yang bermula dari 7 Julai sehingga 2 Sept ini.
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata aduan itu, berkaitan beras dijual pada harga tinggi daripada pasaran serta satu aduan berkaitan beras campuran iaitu dipercayai campuran beras tempatan dengan beras import.
“KPDN dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melakukan 1,053 pemeriksaan di seluruh negara menerusi Ops Jamin, membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit.
“KPDN menerima satu aduan mengenai beras yang dicampur, ada kemungkinan dicampur antara beras tempatan dan beras import, tetapi sukar dibuktikan (kerana tiada bukti dikemukakan pengadu),” katanya selepas hadir ke pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Rakan Strategik KPDN, SJ Circle Sdn Bhd di Kulim pada Isnin.
Beliau turut menjelaskan, kesemua aduan bakal dipanjangkan ke KPKM, susulan isu mengenai bekalan beras tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Berbanding barang lain termasuklah gula dan minyak, tindakan berhubung isu beras ini di luar bidang kuasa KPDN…namun semua aduan yang kita terima akan dipanjangkan kepada KPKM,” katanya.
Untuk rekod, Ops Jamin dilaksana bagi membanteras isu penukaran label kampit beras, yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi BPI.