Semasa

3R: Pemuda Amanah lapor polis terhadap kenyataan ‘haram’ Muhyiddin

Satu laporan polis difailkan Pemuda Parti Amanah susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap menyentuh sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Laporan itu dibuat Ketua Pemuda Amanah Pulai Mohd Harith Mohd Hambali di Balai Polis Tampoi pada pukul 3.07 petang Isnin.

Exco Pemuda Amanah Nasional Fadhli Umar Aminolhuda berkata kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, yang mengharamkan undi terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai bukan sahaja mempermainkan hukum agama, malah boleh menggugat keharmonian di negara ini dan Johor khususnya.

“Kita ambil maklum bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah mengatakan hari ini, bahawa Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan, justeru itu kita mengharapkan agar siasatan dan tindakan itu dapat disegerakan.

“Ini bagi memastikan, tiada lagi mana-mana pihak, terutama pemimpin parti politik yang berani untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya dalam satu sidang media.

Turut hadir Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulai Syed Mohd Hafiz Syed Hassan dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor Muhammad Taqiuddin Cheman.

Sementara itu, Fadhli Umar yang juga Ketua Perundangan Jentera PH bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berkata kenyataan Muhyiddin juga, seolah-olah mahu menggugat kuasa Fatwa Negeri Johor dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang merupakan ketua agama Islam di negeri itu.

Justeru, beliau turut menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau Majlis Agama Islam Negeri Johor turut menjalankan siasatan.

Sabtu lepas, Muhyiddin semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi mereka yang mengundi Suhaizan pada PRK tersebut.

Terdahulu Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menempelak Muhyiddin Yassin yang sewenang-wenangnya mempergunakan fatwa haram terhadap parti lawan ketika musim pilihan raya.

“Parti digunakan untuk mempertahankan agama,bukan agama digunakan untuk mempertahankan parti politik.

“Dulu masa kawan jadi halal,bila lawan jadi haram pula,” katanya sambil mengingatkan Presiden Bersatu itu supaya berlawan dengan idea dan hujah yang boleh membantu rakyat.

Related Articles

Back to top button