Mahkamah

Ahmad Zahid telah lalui proses perundangan sewajarnya, kata Saifuddin

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan termasuk rasuah disifatkan telah melalui proses sewajarnya.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu sama dengan keputusan mahkamah yang sama melepaskan dan membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan menerima rasuah beberapa minggu yang lalu.

“Keputusan dibuat oleh mahkamah, due process seperti beberapa minggu lepas mahkamah juga membebaskan Presiden Bersatu, (Tan Sri) Muhyiddin, hari ini, mahkamah juga buat keputusan yang sama dan itulah keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah, Jabatan Imigresen Malaysia di Nilai.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 berhubung dana membabitkan Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid sehingga peringkat ini.

Pasukan pendakwaan memberi 11 alasan antaranya pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap

“Bagi tidak menafikan hak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu atau lebih penting, tiada salah laku di sisi undang-undang, pendakwaan percaya bahawa pertuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu diberhentikan buat masa ini, – tetapi hanya memberikan kesan lepas tanpa bebas sehingga siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai,” tegas pasukan pendakwaan seperti dilapor media.

Pasukan pendakwaan menegaskan, Ahmad Zahid sebelum ini telah membangkitkan isu yang amat serius iaitu dakwaan menjadi mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim Kerajaan sebelum ini.

Justeru Peguam Negara berpendapat, amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan, beliau tidak mahu membuat lebih andaian berhubung keputusan mahkamah tersebut termasuk impaknya pada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang sedang berlangsung ketika ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak perkara itu akan dimainkan oleh parti lawan sepanjang kempen PRK kali ini.

Related Articles

Back to top button