Bekalan beras putih tempatan akan pulih dalam sebulan – Mohamad Sabu
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan beras putih tempatan (BPT) di seluruh negara akan pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah intervensi melalui Program Khas BPT akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran di seluruh negara.
“Menerusi Program Khas BPT ini, bekalan beras putih tempatan akan dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.
“Dalam masa yang sama, pemantauan berterusan akan dilakukan melalui kolaborasi bersepadu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin.
“Saya turut meminta pengguna tidak risau atau panik sehingga melakukan pembelian beras putih tempatan secara berlebihan,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan stok keterjaminan makanan di sebuah pasar raya di Tampoi pada Selasa.
Langkah itu turut merangkumi penguatkuasaan tindakan undang-undang yang lebih tegas mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), membolehkan kementerian terlibat membatal atau menggantung setiap lesen dikeluarkan.
Tambah Mohamad, satu sesi libat urus KPKM bersama pemegang taruh dalam bidang industri padi beras turut diadakan Khamis ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamad berkata inisiatif yang dilaksanakan kementerian sebelum ini seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan, dijangka akan dapat membantu memulihkan pengeluaran beras tempatan.
Beliau berkata, ini adalah kerana projek Smart SBB tersebut mampu mengeluarkan hasil yang memberangsangkan iaitu sebanyak 11 metrik tan padi beras bagi satu hektar sawah.
Setakat ini, katanya bekalan beras putih tempatan mencukupi dengan kawalan harga kekal RM2.60 sekilogram sejak 2008, sekali gus menjelaskan usaha kementerian memulihkan pengeluaran beras itu adalah berikutan permintaannya yang meningkat, susulan peningkatan harga beras import.