Nasional

Kembara Kenali Borneo: Agong ke Sandakan, Telupid, Kundasang dan Ranau hari ini

Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diteruskan ke empat daerah di Sabah, hari ini.

Baginda berdua dijadual tiba di daerah Telupid pada tengah hari, sebelum meneruskan perjalanan ke arah barat dan dijangka tiba di daerah Ranau pada sebelah petang sebelum menamatkan kembara hari ketiga di kawasan tanah tinggi Kundasang.

Kundasang menjadi destinasi akhir hari ketiga Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, hari ini, dengan jarak perjalanan kira-kira 230 km dari Sandakan.

Sebelum itu, Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah yang bermalam di bandar Sandakan selepas menempuh perjalanan lebih 300 kilometer dari Titik 0.0 KM di bandar Tawau, semalam, dijadual menghadiri beberapa acara di Sandakan dan Beluran pagi ini.

Destinasi pertama kembara baginda berdua dan rombongan hari ini ialah lawatan ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sandakan pada jam 9 pagi, sebelum ke tapak projek Pakej Kerja 29 (WP29) Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Beluran untuk mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya berhubung pelaksanaan projek itu.

Di Sepilok, selain melawat kawasan sekitar Pusat Pemuliharaan Orang Utan, baginda berdua turut dijadual menandatangani plak dan menamakan anak orang utan yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Selesai kedua-dua program berkenaan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah secara rasmi menamatkan Kembara Kenali Borneo di kawasan pantai timur Sabah yang bermula dari Tawau ke Lahad Datu hingga ke Sandakan.

Related Articles

Back to top button