hiburan

PM Anwar hadiri sesi santai bersama penggiat seni di Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar meyifatkan hubungan Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi malah turut mencakupi seni budaya seiring dengan konsep Kerajaan Madani.

Bercakap kepada media selepas menghadiri program bersama pempengaruh dan selebriti di Jakarta malam tadi, beliau berkata, selain hubungan dua hala diplomatik dengan pentadbiran Presiden, Joko Widodo serta interaksi dengan pengusaha dan pelabur, pemerkasaan seni budaya turut diberi perhatian.

“Saya mendapatkan juga pengalaman mereka dan cadangan untuk tingkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya,” katanya.

Program ‘Santai Bersama Anwar’ dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameelah, Maruli dan Bara Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow selain artis Malaysia, Fazura.

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah usaha memperjuang nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah, kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan harmonis dua negara.

Program itu diadakan sempena kehadiran Anwar ke negera jiran itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula hari ini hingga 7 September.

Anwar turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Related Articles

Back to top button