Global

Sidang Kemuncak ASEAN-43: Anwar berharap penyertaan Malaysia kukuhkan kepusatan ASEAN

Penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 diharap akan mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perkongsian melalui akaun X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter berkata, beliau turut berharap persidangan itu akan menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalin hubungan dengan rakan luar.

“Platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menopang tantangan dan kebhinekaan (kepelbagaian) evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar tika ini,” tulisnya.

Anwar berkata, platform itu juga akan digunakan bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan ASEAN.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada

Selain acara rasmi, Perdana Menteri akan bertemu sahabat-sahabat Indonesia dalam ‘Program Temu Anwar’ yang buat julung kalinya diadakan di luar Malaysia.

“Moga semua yang dirancang dan diatur ini berjalan dengan lancar dan mendapat keredaan-Nya, Insya-ALLAH,” katanya.

Related Articles

Back to top button