Parlimen

Garis panduan pembaharuan semula bandar bakal dibawa ke Dewan Rakyat – KPKT

SATU garis panduan pembaharuan semula bandar telah diluluskan di peringkat Jemaah Menteri dan dijangka dibentangkan sebagai akta di Dewan Rakyat pada tahun depan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata garis panduan itu diluluskan Kabinet 30 Ogos lalu akan menjadi rujukan untuk memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik.

Jelasnya, garis panduan itu ia akan digunakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju hartanah, dan pihak berkepentingan lain.

“Menjelang 2040 kadar perbandaran Malaysia dijangka meningkat sehingga 85%, ini mewujudkan cabaran baharu memerlukan perancangan dan pengurusan lebih sistematik, terancang serta cekap.

“Ini (garis panduan) untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar serta kualiti hidup masyarakat bandar,” katanya pada sidang media di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pada Selasa.

Beliau berkata garis panduan pembaharuan semula bandar itu dihasilkan selepas melalui 19 sesi libat urus dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, ini termasuk Jabatan Perumahan Negara, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), selain kerajaan negeri melalui PLANMalaysia.

Related Articles

Back to top button